Selepas aplikasi permainan Pokemon Go diketahui boleh dimuat turun pada hari ini, pelbagai reaksi telah diberikan oleh pengguna laman sosial.

Rata-ratanya tidak bersetuju dengan kemasukan aplikasi tersebut ke negara ini, lebih-lebih lagi selepas Indonesia dan Saudi Arabia mengharamkan permainan popular dunia itu di negara mereka.

Antara komen pengguna di laman sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram ialah mereka bersetuju sekiranya permainan tersebut turut diharamkan di negara ini.

Menurut mereka, Pokemon Go wajar diharamkan kerana telah menyebabkan beberapa kemalangan termasuk kematian gara-gara permainan tersebut.

Mereka turut menyokong kenyataan dikeluarkan Indonesia dan Arab Saudi yang mendakwa Pokemon Go hanya sebuah aplikasi yang sia-sia dan mendatangkan kelalaian kepada orang ramai.

Berbeza dengan penggemar Pokemon yang sama-sekali tidak bersetuju apabila permainan tersebut dikatakan membahayakan dan menyebabkan kelalaian.

Bagi penggemar dan penyokong Pokemon, permainan hanyalah sekadar permainan dan pengguna tidak perlu taksub sehingga mengabaikan keselamatan dan nyawa sendiri.

Ada juga pengguna laman sosial yang neutral tentang perkara tersebut dan menganggap tiada salahnya jika memuat turun aplikasi Pokemon Go untuk menghilangkan rasa bosan.

Aplikasi ini juga menurut mereka, ada positifnya kerana Pokemon Go merupakan permainan 'tricky' serta memerlukan kemahiran berfikir serta skill tertentu yang secara tidak langsung menguji minda pemainnya.



Tidak kurang juga yang meminta penggemar pokemon agar tidak berlebih-lebihan ketika bermain dengan Pokemon Go, kerana menurut mereka apa sahaja jika dilakukan secara berlebihan boleh mengundang bencana.

Bagaimanapun, perdebatan turut diselitkan dengan kenyataan daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Pokemon dan aplikasi permainan Pokemon Go tidak dibenarkan untuk umat Islam atas faktor 'maslahah' dan kemudaratan.

Zulkifli dalam kenyataannya semalam memberitahu, keputusan tersebut dicapai setelah meneliti pendapat para ulama dan fatwa yang dikeluarkan.

Katanya fatwa yang dikemukakan berasas dan permainan Pokemon Go dan Pokemon perlu dijauhkan jika membawa kepada mudarat.

Mengiyakan kuasa dan dewa tertentu dan boleh membawa kepada perjudian juga antara sebab ia diharamkan untuk umat Islam.

Terdahulu, beberapa kes seperti pengintipan pihak luar, mengabaikan anak, pencerobohan ruang peribadi, kemalangan, kematian dan banyak lagi telah dilaporkan disebabkan permainan Pokemon Go.

Kepada peminat-peminat Pokemon, sentiasa berhati-hati ketika bermain permainan Pokemon Go dan jangan lalai sehingga mengabaikan keselamatan sehingga terdedah kepada situasi yang mengancam nyawa.