Wayang @Budiman menjadi platform terbaik buat penggiat seni filem, ahli akademik mahupun penonton berdiskusi mengenai sesebuah filem dengan lebih lanjut.

Ketua Pascasiswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Norman Yusoff berkata, platform tersebut yang bermula sejak tahun 2015 menjadi agenda wajib diadakan setiap 2 minggu sekali.

"Program ini dimulakan bekas pelajar saya dulu yang kemudian menubuhkan Pusat Kajian dan Apresiasi Filem yang membuat aktiviti 'non-profit' untuk tujuan pendidikan.

"Saya dijemput sebagai moderator dan menariknya, tayangan filem di sini membawa tema tertentu," katanya kepada Astro Gempak.

Salam Aidilfitri. Isnin depan (25 Jun 2018) #WayangBudiman dengan kerjasama @kelabsenifilemmalaysia membawakan filem RINDU KAMI PADAMU (2004) oleh sutradara Indonesia, Garin Nugroho. Tayangan akan berlangsung di HELP College of Arts and Technology, Kompleks Metro Pudu, Kuala Lumpur. Tayangan percuma dan bertujuan pendidikan. Semua dijemput hadir.

A post shared by wayang@BUDIMAN (@wayangbudiman) on


Ujarnya, kebanyakan filem yang ditayangkan adalah daripada koleksinya sendiri.

"Banyak filem ini dari konsep world sinema, filem Asia 'rare' yang bukan ditayangkan di pawagam dan bukan komersial termasuk filem klasik tapi berkualiti yang kita raikan.

"Ada juga filem dari zaman 70-an tetapi banyak filem yang dipilih mengikut tema seperti mana dua bulan 1 tema atau satu bulan satu tema," katanya.

Dr Norman menjelaskan pada Ramadan lalu, filem bertema keagamaan dipilih manakala sejak Januari lalu tema pesona Chow Yun-Fat dalam 3 filem yang penonton tidak tahu bukan filem aksi dipertontonkan.

"Bermula minggu depan sehingga Ogos, ada 5 filem membawa tema usaha sama Malaysia dengan Indonesia seperti Bayangan Di Waktu Fajar tahun 1963 dulu sehingga 80-an akan ditayangkan.

"Pada Ogos dan September pula, ada tema merdeka iatu ada 4 filem yang saya senaraikan filem yang kita tidak pernah dengar daripada negara itu seperti Nepal, Pakistan, Khuzestan dan Algeria.

"Tema kemerderkaan filem-filem ini pula lebih luas mengikut negara masing-masing," katanya.

Menariknya, Dr Norman mengakui dia adalah pengumpul pelbagai filem dari luar negara sama ada di beli menerusi dalam talian mahupun menerusi rakan.

Bagi mereka yang berminat turut serta dalam program Wayang @Budiman boleh mendapatkan info menerusi @wayangbudiman di Instagram.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @wayangbudiman