Pelakon Datuk Aaron Aziz bakal melangkah ke set penggambaran filem aksi, JB Pailang selepas sambutan Syawal biarpun pernah mengalami masalah sakit belakang.

Gian untuk berlakon dalam filem aksi, Aaron mengambil langkah berjaga-jaga agar masalah kesihatannya tidak berulang.

"Penggambaran filem JB Pailang bakal diadakan di Johor. Isteri saya 'bising' apabila saya mengambil tawaran tersebut, tetapi saya rindu untuk berlakon dalam filem genre aksi.

"Dia 'bising' kerana risau masalah kesihatan saya akan berulang tetapi saya sendiri akan mengambil langkah berjaga-jaga," katanya ketika ditemui di acara Jakel Barulah Raya baru-baru ini.

Menurut Aaron, dia akan menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri untuk menjayakan babak berat.

"Saya akan mengelakkan diri dari melakonkan perkara yang bakal memudaratkan. Jika ada babak berat, saya akan menggunakan khidmat 'stuntman'. Saya agak teruja dengan filem ini kerana sudah lama tidak berlakon dalam filem aksi," katanya lagi.

Aaron bakal muncul dalam telefilem istimewa sempena Syawal yang berjudul Renyai Takbir Raya.

Bergandingan bersama Sharifah Sakinah dan Anzalna Nasir, jangan lupa saksikan Renyai Takbir Raya pada jam 10 pagi, 19 Jun (Selasa) di Astro Ria, Astro Ria HD dan Astro Raya HD.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Aaron