Meskipun usianya sudah mencecah 51 tahun, namun aktor Faizal Hussien akui belum bersedia membawakan watak bapa yang lebih berusia dari umurnya kini.

Faizal Hussein berkata dia terpaksa menolak watak orang tua kerana bimbang jangka hayat sebagai seorang hero filem menjadi pendek.

“Saya menolak tawaran drama bersiri yang mahu saya menjadi watak bapa atau lebih tua sehingga perlu memutihkan rambut saya.

“Selain watak itu terlalu senang, saya menolaknya kerana saya tidak mahu jangka hayat sebagai seorang hero filem nanti menjadi pendek.

“Saya masih lagi menjadi hero filem jadi sayang jika terima watak bapa,” katanya.

Faizal ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama barisan pelakon filem Kalla: Hidup Atau Mati baru-baru ini.

Ditanya bagaimana dia menjaga stamina sebagai seorang pelakon, Faizal akui dia amat mementingkan kesihatan.

“Saya pun tidak tahu bagaimana tetapi saya dari dulu memang amat mementingkan kesihatan.

“Tidak dinafikan ramai yang memuji stamina saya ketika berlakon terutama watak aksi,” katanya lagi.

Faizal membintangi filem televisyen istimewa sempena sambutan Syawal, The Hantus yang disiarkan di Astro First Eksklusif.

The Hantus turut menampilkan Alif Satar, Hannah Delisha, Khatijah Tan dan ramai lagi ini bakal bersiaran di Astro First Eksklusif, saluran 480 bermula 1 Syawal (15 Jun 2018).

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton The Hantus dengan berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, The Hantus juga boleh disaksikan menerusi platform digital 'on demand'.

Teks: Syafiqah Jalal