Stesen radio ERA berjaya pecah rekod sebagai stesen radio nombor satu negara apabila terkini meraih 6.8 juta pendengar.

Pengurus Kandungan Rangkaian Astro Radio (Era, Sinar, Gegar dan Zayan), Nazri Noran berkata, ini adalah pencapaian terbaik stesen tersebut sejak beroperasi 20 tahun lalu.

"Pada tahun 2000, ERA meraih 4 juta pendengar manakala paling tinggi iaitu 6.5 juta pendengar pada tahun 2005," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, sambutan positif pendengar ini turut didorong dengan perkembangan kandungan digital dan lagu yang banyak berubah sejak beberapa tahun lalu.

"Paling membanggakan adalah segmen JoHaRa Pagi ERA yang masuk 7 tahun juga pecah rekod sebagai segmen pagi yang bertahan lama," katanya.

Akuinya, pencapaian segmen berkenaan yang dikendalikan Johan, Ray dan Haniff masih kekal relevan pada pendengar di ERA.

"Johan sangat serasi dengan Ray dan Hanif meskipun kedua penyampai itu bukan pelawak tetai gandingan mereka menjadikan segmen itu cukup menghiburkan.

"Segmen pagi membawa konsep lawak pernah dibawa ERA ketika bersama arwah Din Beramboi dan Datuk Aznil Nawawi. Namun, cabaran kali ini adalah pada Johan apabila dia perlu kelakar setiap hari," katanya.

Tambahnya, pencapaian ERA didorong perubahan yang dilakukan berdasarkan daripada kritikan pendengar yang diterima.

"Pengalaman pendengar ketika ini bukan hanya setakat mendengar radio tapi menjiwai. Adanya ERA Digital Music Award dan kandungan digital menerusi media sosial seperti Facebook dan Instagram menarik minat pendengar untuk berhibur.

"Malah, ERA masih memberi ruang pada lagu baru dibawa ke platform digital dan terus memberi fokus pada lagu artis tempatan," katanya.

Memberi tumpuan pada kelompok pendengar muda berusia 30 tahun ke bawah, ERA juga memperbanyakkan kandungan digital seperti video sebagai hiburan pada pendengar.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @haniff_hamzah