Pelakon Fattah Amin akui gembira berjaya menaikkan berat badannya lebih 20 kilogram (kg).

Fattah Amin memberitahu dia terpaksa menaikkan berat badannya kerana sebelum ini tubuhnya terlalu kurus dan tidak ideal dengan ketinggian yang dimiliki.

“Saya nampak terlalu cengkung dan tidak kemas ketika memiliki badan yang amat kurus. Berat berat badan saya pernah mencecah 40 kg.

“Bayangkan dengan ketinggian 183cm waktu itu ia kelihatan amat tidak ‘balance’ dengan berat badan saya.

“Jadi saya tekad untuk menaikkan berat badan saya supaya berkeyakian tinggi,” katanya kepada Suudu yang ditemui ketika penggambaran program Taste Selebriti baru-baru ini.

Sejak setahun yang lalu, pelakon yang mula popular menerusi drama Playboy Itu Suami Aku ini tekad untuk menaikkan berat badannya dengan makan sebanyak empat kali sehari.

“Sebenarnya dulu metabolisma saya tinggi, jadi bila saya makan banyak pun saya tetap kurus tetapi saya akui saya tidak mengamalkan cara pemakanan yang sihat.

“Jadi sejak itu, saya disiplinkan diri untuk makan mengikut waktu iaitui sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam tanpa gagal.

“Pada saya kita semua perlu makan dalam empat kali sehari mengikut waktu yang ditetapkan. Tidak kira waktu itu kita kenyang atau belum berasa lapar tetapi apabila tiba waktu makan, kita perlu makan.

“Selain itu, saya turut ke gym untuk melakukan senaman bagi seimbangkannya. Tidak perlu lama hanya 45 minit di gym sudah cukup untuk anda mendapat tubuh badan yang sihat.

“Sekarang saya sudah dapat bentuk badan yang ideal dengan berat sebanyak 68 kg dan hanya perlu 'maintain' sahaja,” beritahunya.

Fattah bakal muncul dalam program Taste Selebriti untuk 1 episod dan akan membawa penonton ke tiga lokasi makan yang popular di tempatnya membesar.

Taste Selebriti bakal ditayangkan di Astro Bella (133) dan Mustika HD (134) setiap Isnin jam 9 malam bermula 29 September akan datang