Meskipun lagu Aidilfitri lazimnya dinyanyikan golongan Melayu tapi kumpulan Malagos membuktikan kepelbagaian bangsa mampu bersatu dalam sebuah lagu terbaru berjudul, Kita Rayo 2018.

Penyanyi Badri Ibrahim merangkap penyanyi utama kumpulan ini memberitahu idea dan konsep lagu ini dicetuskan salah seorang anggota kumpulan ini iaitu Richard ‘Skin’ Chua yang berhasrat mahu mempromosikan keharmonian budaya Melayu, Cina dan India di negara ini.

"Mengambil aura lagenda Datuk M Daud Kilau yang sememangnya sinonim sebagai antara penghibur ‘evergreen’ Malaysia, kami memerlukan masa selama 2 jam untuk menghabiskan rakaman tiga bahasa iaitu Melayu, Mandarin dan Tamil," katanya kepada Astro Gempak.


Tambahnya, lagu ini turut menyelitkan lirik berentak rap untuk menghidupkan suasana agar lebih menarik dan menghiburkan.

"Paling menarik semua yang terlibat mempamerkan bakat bermain instrumen muzik terdiri daripada Sesatre bermain flute bansuri, Daeren Tan (ukulele), Richard (tabla), Raymond Vijay (cajon), Gurunathan Nagappan (shaker), Mages Chua (melodica), Asya Amiruddin (tambourine) dan Sara Heng (Guzheng)," katanya.

Badri juga menyatakan mesej lagu ini bersama mengajak rakyat Malaysia meraikan Aidilfitri tanpa mengira bangsa.

"Rumah terbuka sudah menjadi kebiasaan untuk rakyat negara ini tidak kira apa jua perayaan. Namun, masa kita berkunjung kena juga menjaga tatasusila," katanya.

Malagos singkatan nama Malaysia Amigos sebelum ini pernah mencuri tumpuan khalayak menerusi lagu Undilah Malaysia 2018 yang dihasilkan sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Teks oleh: Elrafaei Sapi