Kerana sering dipanggil makcik, pelakon Ellie Suriaty nekad mengurangkan berat badan.

“Saya sedih bila orang panggil saya makcik, rasa macam tua sangat ke saya ni?

“Jujur saya cakap panggilan itu memang menusuk kalbu, sampai sekarang pun bila teringat saya rasa malu sangat.

“Lagi buat saya tertekan bila berjumpa dengan kawan-kawan lama, mereka pasti tegur tentang berat badan sampai saya rasa bosan nak jawab.

“Sebab itu saya nekad untuk kuruskan badan supaya nampak lebih sihat dan muda sikitlah daripada sekarang,” katanya.

Ellie ditemui ketika majlis memperkenalkan pelajar Akademi Fantasia 2016 (AF2016) pada Selasa.

Mengulas mengenai berat badannya, Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar, 46, memberitahu dia tidak memakan nasi selama lima bulan bagi mendapatkan berat badan yang diingini.

“Saya tak buat diet yang pelik-pelik tapi saya hanya tak makan nasi sahaja selama lima bulan dan hasilnya berat turun dengan cepat.

“Dulu berat saya 70 kilogram tapi berat terkini saya tak tahu sebab tak timbang lagi, takutlah!

“Tapi setakat ini saya sendiri dah rasa perubahan contohnya bila pakai baju lama baju tersebut longgar dan saya juga dah boleh pakai baju saiz S.

“Alhamdulillah juga bila ramai yang tegur kata saya nampak kurus, dalam hati tu memang rasa berbunga, berbaloi la juga la saya ‘seksa’ tak makan nasi,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ellie terlibat dengan program realiti Akademi Fantasia 2016 sebagai Guru Seni Persembahan.

AF2016 akan mula bersiaran secara ekslusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap hari Ahad, jam 9 malam bermula 21 Ogos ini.

Konsert mingguan akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sementara itu rutin harian para pelajar menjalani kehidupan di akademi boleh ditonton menerusi Diari AF 2016 pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 15 Ogos di saluran sama.