Pelakon Mira Filzah menafikan khabar angin bahawa dia menjalinkan hubungan istimewa dengan Fikry Ibrahim.

Kata Mira, kisah itu timbul apabila Fikry pernah menyunting fotonya bersama suatu ketika dahulu sebelum terjun ke dunia seni.

"Tidaklah. Kami sebenarnya berlakon sekali dalam drama yang sama.

"Rasanya gosip itu mula timbul sebab sebelum Fikry jadi artis, dia pernah 'edit' gambar kami berdua," katanya kepada Gempak.

Mira yang ditemui pada pada majlis Tayangan Eksklusif Pelangi Cinta di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini menjelaskan dia masih solo.

Malah, Mira sudah lali berdepan dengan gosip setiap kali bergandingan dengan hero sesebuah drama.

"Saya masih solo. Selalunya peminat atau penonton drama saya yang 'jodohkan'.

"Bagi saya kalau setiap kali ada gosip saya dengan pelakon lelaki yang digandingkan maksudnya keserasian dan lakonan kami menjadi," tambahnya.

Mira dan Fikry digandingkan bersama dalam drama rantaian Rahsia Hati Perempuan yang bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis jam 10 malam di Astro Ria dan Ria HD.

Rahsia Hati Perempuan turut dilakonkan oleh Hisyam Hamid, Uqasha Senrose, Eina Azman, Fauziah Ahmad Daud dan Lydiawati.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @mfmirafilzah