Bergaya dengan pakaian baru bagaikan satu kemestian di Aidilfitri, begitu juga penyanyi rock popular, Awie muncul memperkenalkan koleksi baju raya yang unik untuk peminatnya.

Apa yang menarik perhatian, Awie menampilkan gaya baju Melayu seperti pahlawan Melayu zaman dahulu yang lengkap dengan samping dan tengkolok.

Awie memuat naik beberapa gambar yang menunjukkan koleksi pakaian terbarunya itu menerusi media sosial, Facebook sejak semalam.



Ujarnya, pakaian yang dikenali Busana Tokwie sesuai untuk dipakai mereka yang berani untuk berubah.

Pelbagai corak untuk baju Melayu yang dijual kali ini antaranya membawa motif jalur dan kotak.

Malah, gaya pakaian itu juga boleh dipadankan bersama kain pelekat sebagai samping mahupun selendang.

Sebagai strategi pemasaran, Awie juga menyelitkan pantun empat kerat untuk tarik perhatian orang ramai membeli koleksi terbarunya ini.

Daripada respons peminat, mereka bukan saja teruja mahu membeli tapi terhibur dengan pantun berkenaan.

Puteri Ayu berbaju sendat,
Laksamana berlima Gagah perkasa,
Bukan ikutan mahupun adat,
Jangan ditinggalkan warisan kita!!!

Busana Melayu baju lah asli,
Dipakai oleh Datuk Menteri,
Nilai tertinggi budi pekerti,
Dapatkan sepersalinan di Busana Tokwie!!!

Laksamana Gagah ke gunung ledang,
Niat berjumpa Puteri nya lela,
Jangan di salahkan hamba berdagang,
Kerna perubahan perlu diperkasa.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Awie Al Pamalo (Facebook)