Selain bergelar pengacara, nama Awal Ashaari sering dipilih untuk mewakili sesuatu jenama sebagai duta.

Isteri Awal, Scha Alyahya dan anak mereka, Lara Alana turut menjadi untuk bergelar duta banyak produk.

Rezeki Awal sebagai duta juga mencurah dan banyak syarikat memilih bekas pengacara rancangan Melodi itu untuk menjadi wajah bagi jenama mereka.

Bertemu dengan Awal baru-baru ini, Astro Gempak sempat bertanyakan kepadanya adakah dirinya menerima bayaran yang murah sehinggakan dipilih untuk menjadi duta untuk pelbagai jenama?

"Saya seorang yang teliti. Saya menilai terlebih dahulu tawaran yang diterima bagi menjaga jenama produk yang diwakili oleh kami sekeluarga. Saya sangat mementingkan kualiti sesuatu produk sebelum menyatakan persetujuan.

"Syukur kerana semua tawaran yang datang dianggap sebagai rezeki. Ada juga beberapa produk atau syarikat yang mahukan saya dan keluarga sebagai duta tetapi kami tolak kerana mereka kekurangan bajet.

"Tetapi, kerjasama tidak terhenti setakat itu. Kami berikan beberapa pilihan untuk mereka, jika tidak dapat bergelar duta, mungkin kami boleh lakukan 'review' di laman Instagram mengenai produk mereka dan bayaran yang dikenakan berpatutan serta sesuai dengan bajet," kata Awal yang ditemui ketika majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta Secret Recipe minggu lalu.

Bergelar wajah untuk rangkaian restoran tersebut selama setahun, Awal tak sangka dirinya dipilih sebagai duta pertama jenama terbabit.

"Sejujurnya, saya tak sangka mereka mahu mengambil saya sebagai duta. Sebelum ini, mereka pernah menjalin beberapa kerjasama dengan artis tetapi belum pernah melantik selebriti sebagai duta rasmi.

"Mungkin mereka perlukan seorang figura yang bergelar selebriti, suami dan bapa yang gemarkan makanan yang ada di Secret Recipe dan semua ciri-ciri tersebut ada pada saya," katanya mengakhiri perbualan.

Teks: Kamaruddin Razal