Pengarah filem pecah panggung Polis Evo, Ghaz Abu Bakar mencadangkan pelakon yang tidak berpuas hati dengan skrip drama untuk meneliti terlebih dahulu sebelum menerima tawaran.

Baca: "Skrip Drama Teruk, Bunuh Jiwa Saya!" - Aiman Hakim Ridza

Kata Ghaz, tidak seharusnya isu skrip drama dipertikaikan memandangkan pilihan untuk menerima atau menolak tawaran ada di tangan seseorang pelakon itu sendiri.

"Kalau tak berkenan dengan skrip sesebuah naskhah, seseorang pelakon itu boleh menolak tawaran yang diberikan berbanding mengkritik.

"Tak perlu pun terima tawaran berlakon sebab nanti akan buat kerja tak ikhlas dan hasilnya pun akan jelas sekali akan nampak menerusi kualiti lakonan.

"Kalau perlu, bincangkan dahulu dengan produser dan pengarah untuk mencari jalan yang terbaik," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Banteras di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya baru-baru ini.

Ghaz dalam pada itu mencadangkan pelakon yang kreatif dan berkebolehan untuk terjun ke bidang penulisan skrip.

"Mana-mana pelakon yang berbakat besar boleh mencuba untuk menulis skrip sendiri, mana tahu ia lebih baik daripada skrip yang sedia ada," katanya.

Pengarah itu kini dalam rangka proses akhir penggambaran drama 12 episod, Banteras yang akan memulakan tayangan pada Ogos nanti.

Drama Banteras dibintangi oleh Sangeeta Krishnasamy, Kamal Adli, Zahiril Adzim dan Khir Rahman.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @ghazabubakar