Penyanyi rap yang popular dengan loghat Negeri Sembilan Waris memilih untuk membesarkan anaknya, Muddassir Muzzammil dengan cara hidup di kampung.

Menurut Waris, dia mahu mendedahkan kehidupan di kampung supaya anaknya dapat menjalani kehidupan yang sederhana dan pandai berdikari pada masa depan.

"Saya memang tak nak bagi dia membesar di bandar sangat kerana mahu dia merasai kehidupan di kampung.

"Saya memang membesar di kampung, jadi saya mahu dedahkan kepada anak saya dengan suasana serta cara hidup di kampung sama seperti saya lalui dahulu.

"Saya mahu dia membesar dengan kehidupan yang sederhana supaya nanti dia tahu nak survive apabila dewasa kelak.

"Alhamdulillah, anak saya nampaknya selesa dengan kehidupan di kampung dan dia kini sudah pandai naik kuda, kambing pun dia peluk buat macam kawan-kawan dia," katanya kepada Astro Gempak.

Waris berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran filem This Is Pilah: The Movie, di Restoran Q-Thai Village, Ampang baru-baru ini.

This Is Pilah bakal menemui penonton di pawagam pada 21 Jun ini.

Filem yang diarahkan Rosdi Md Dali turut dibintangi Juzzthin, Iesna Raus, Kazar dan Ebby Yus.

Filem ini turut menampilkan penampilan khas bekas ahli parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hassan Malek, Ito Blues Gang dan Ustaz Syamsul Debat.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram