Sempena menyambut Aidilfitri ini, komposer Ajai tampil dengan album kompilasi yang memuatkan lagu-lagu raya klasik yang diberi nafas baru menerusi album Nada Seni Gema Lebaran Lagenda.

Ajai atau Mohd. Faizal Maas, 42, berkata usaha yang dilakukan itu diharap dapat menarik minat pendengar dari semua golongan.

"Meskipun 24 lagu dalam album ini merupakan lagu-lagu klasik tetapi kami rakamkannya semula dalam gubahan yang baharu namun dalam masa yang sama tidak menyentuh sedikit pun melodi asal lagu berkenaan.

"Dari segi pemilihan barisan penyanyi pula adalah mereka yang menyanyikan semula lagu-lagu ini adalah mengikut julat suara penyanyi asal supaya dapat mengekalkan keaslian karya tersebut.

"Lagu-lagu ini sering menjadi siulan ramai setiap kali menjelangnya raya, jadi saya harap pendengar dari semua golongan akan menyukainya," katanya ketika majlis pelancaran album tersebut.

Album tersebut merupakan kerjasama Ajai bersama dengan dua rakannya, pemuzik S. Atan dan ahli perniagaan Adib Khalid.

Penyanyi popular dan lagenda yang terlibat seperti Ziana Zain, Sanisah Huri, Ramlah Ram, Salamiah Hassan, Hazama Azmi, Hael Husaini, Syamel Aqmal, Haziq Rosebi, Salwa Abdul Rahman, Fazli Zainal dan Salma Asis.

Meskipun Syawal bakal tiba kurang seminggu lagi, namun Ajai akui dia tidak pernah terlambat untuk mengeluarkan album tersebut.

"Kami tidak target untuk menjual album ini pada Syawal ini sahaja kerana lagu raya bakal popular setiap tahun.

"Jadi kami akan ambil masa 2 hingga 3 tahun untuk menjual album ini kerana Aildilfitri pasti disambut setiap tahun,"katanya lagi.

Album terbitan Eight Minarets Sdn. Bhd., edaran Universal Music Malaysia itu dijual pada harga RM25 setiap satu dan boleh didapati di platform digital bermula Isnin lalu.

Teks &Foto oleh: Syafiqah Jalal