Ikon fesyen hijabista, Vivy Yusof akui teruja apabila doktor sudah mengesahkan jantina bayi ketiga yang dikandungnya sekarang.

Pun begitu, Vivy berkata dia hanya akan berkongsi berita tersebut bila masa yang sesuai menerusi akaun Instagram (IG) kelak.

“Alhadmulilah bayi saya sihat dan baru-baru ini doktor sudah mengesahkan jantinanya.

“Kami sekeluarga sangat teruja apabila mendapat tahu serta tidak sabar menantikan kelahirannya.

“Bagaimanapun, biarlah saya simpan dahulu nanti sudah tiba masa saya akan umumkannya di IG,” katanya kepada Astro Gempak.

Vivy mempunyai dua orang cahaya mata Daniel Azim Shah dan Mariam Iman Shah.

Vivy ditemui sebelum bersiaran langsung di program Go Shop pada jam 9 malam, pada Khamis, yang menampilkannya sebagai Pengasas Fashion Valet.

Siaran langsung Go Shop yang ditayangkan di Astro 118 dan Astro 120 itu berlangsung selama 1 jam mempromosikan baju kurung daripada Poplook serta tudung dari Tudung People.

Meskipun Aidilfitri bakal menjelang kurang seminggu lagi, namun Vivy percaya masih ramai yang mahu berbelanja di saat akhir.

“Saya rasa masih belum terlambat untuk Fashion Valet memasuki Go Shop mempromosikan koleksi raya kami kerana pasti ada yang belum membeli baju raya.

“Ia sesuai untuk wanita yang melalukan persiapan di saat akhir.

“Lagipun koleksi ini bukan sahaja boleh dipakai ketika Hari Raya sahaja malah sesuai untuk menghadiri pelbagai acara,” katanya lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal