Pelakon kacak Aiman Hakim Ridza mengakui punca jarang tampil di kaca televisyen kerana kecewa dengan penulisan skrip drama yang kurang berkualiti.

Kata Aiman, 29, kebanyakan skrip drama sekarang masih di takuk lama dan pelakon terpaksa menerima tawaran sedemikian semata-mata untuk menyara hidup.

"Kebanyakan skrip drama sekarang teruk, setiap drama sepatutnya menjadi inspirasi kepada penonton tetapi drama kita tiada ciri-ciri tersebut! Kebanyakannya masih di takuk lama.

"Sebenarnya bukan pelakon yang kayu tetapi penulis skrip dan pengarah itu sendiri.

"Setiap hari saya rasa fed up apabila datang ke set. Skrip drama sebegini membunuh jiwa saya namun harus saya akui pelakon terpaksa menerima tawaran untuk drama sebegini demi menyara kehidupan," katanya.

Aiman yang ditemui pada majlis tayangan eksklusif Pelangi Cinta di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini turut menyeru golongan dramatis untuk membuat perubahan.

"Pelakon tidak seharusnya menerima skrip dan bayaran daripada produser sewenang-wenangnya.

"Berlakon perlu ada common sense, gunakan pengalaman, ilmu dan hati ketika di depan kamera.

"Jangan terlalu angkuh, jika ada kesilapan perlu mengaku dan sama-sama memperbaiki industri ini. Sedihlah kalau mahu gam saya hanya disebabkan perkara sebegini," tambah Aiman.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @aimanhakimridza