Pelakon Aiman Hakim Ridza enggan masuk campur urusan yang membabitkan bekas kekasihnya, Nur Fathia.

Kata Aiman, dia jarang mengikuti perkembangan terkini mengenai aktres itu atau mengambil tahu perihal gosip dan kontroversi yang berlaku.

"Saya cuba jauhi negativiti! Apa yang berlaku yang tidak membabitkan saya rasanya tidak perlu ambil tahu.

"Ada juga saya terdengar mengenai beberapa isu tetapi saya tak suka jaga tepi kain orang. Lebih baik saya fokus diri sendiri dan kerjaya," katanya kepada Astro Gempak.

Aiman ditemui pada majlis Tayangan Eksklusif Pelangi Cinta di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun, Aiman mengakui mereka masih berkawan namun sudah tidak berhubung.

"Kami masih berkawan, cuma tidak berhubung.

"Ada banyak lagi perkara lain yang perlu saya fikirkan berbanding kisah cinta terutama masalah industri seni sekarang," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Aiman bakal kembali ke set penggambaran drama bersiri adaptasi Korea, Full House selepas Aidilfitri ini.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @aimanhakimridza