Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin hadir bertemu Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) di Menara Ilham hari ini.

Siti Nurhaliza dijangka memberi penerangan kepada MPK berhubung industri muzik negara, keusahawanan dan juga penggunaan media sosial secara umum.

Penyanyi berumur 39 tahun itu tiba dengan berpakaian baju kurung moden berwarna biru cair dengan kenderaan pelbagai guna (MPV).

MPK yang dipengerusikan Tun Daim Zainudin ditubuhkan pada 12 Mei lalu untuk memberi nasihat berhubung ekonomi dan kewangan kerajaan.

Selain Daim, MPK dianggotai bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PETRONAS, Tan Sri Hassan Marican dan ahli ekonomi terkemuka, Prof Jomo Kwame Sundaram.

Majlis berkenaan mengadakan mesyuarat harian bersama syarikat berkaitan kerajaan, ketua agensi dan ketua perniagaan selepas penubuhan Kabinet.

Sumber: BH Online