UMW Toyota Motor (UMWT) secara rasmi memperkenalkan model crossover kompak yang dinanti-nantikan, Toyota C-HR serba baharu di pasaran tempatan.

Dengan harga yang sangat berpatutan, model Toyota C-HR ditampilkan dengan reka bentuk unik dan menarik.

Malah, Toyota C-HR juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang lebih jitu.

Sempena dengan sambutan Aidilfitri tahun ini, kami senaraikan lima fakta menarik tentang Toyota C-HR.

1. Enjin 1.8L

Toyota C-HR dipadankan dengan enjin 1.8 liter petrol yang digandingkan bersama transmisi Sequential Shiftmatic CVT 7-kelajuan.

Berbanding dengan model kenderaan lain, Toyota C-HR memberikan pengalaman memandu yang optimum dan efisyen.

Malah, model ini juga dilengkapi dengan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

Mod Eco untuk memaksimakan penjimatan minyak, Normal untuk kegunaan harian manakala Sport untuk lebih kelajuan. Pilih saja mana yang serasi dengan mod pemanduan anda pulang ke kampung nanti.



2. Keselamatan

Ciri keselamatannya termasuk ABS sebagai standard, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM).

C-HR juga dilengkapi ciri Brek Parkir Elektrik dan Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC) untuk mengelakkannya daripada mengundur ketika mula bergerak di permukaan curam.

3. Reka bentuk

Model ini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang kini banyak digunakan pada model baharu Toyota.

Rekaan dalaman C-HR menampilkan konsep yang sama sekali berbeza berbanding model Toyota yang sebelumnya; ia menggabungkan penggayaan moden dengan fungsi termaju.

Bahagian pemandu menerapkan perincian inovatif dan teknologi intuitif dengan meter Optitron 4.2-inci berwarna dengan Paparan Pelbagai Maklumat (MID).

Bagi yang gemar memandu, turut tersedia ialah ciri G-monitor yang akan memaparkan kadar daya-G ketika kenderaan berada dalam selekoh, memecut dan mengurangkan kelajuan.



4. Aksesori

Toyota C-HR juga menyediakan sistem kawalan bunyi kedap udara untuk bunyi yang lebih jelas.

Selain itu, model terbaharu Toyota ini dilengkapi dengan reka bentuk dashboard yang moden dan berkualiti tinggi.

Tempat duduknya pula dibina dengan material kulit, bagi memberikan keselesaan dan sensasi rasa mewah dan glamor. Mesti ramai yang akan terpegun apabila pulang beraya!

Struktur tempat duduk yang menyokong bahu dan badan serta mengurangkan ketidakselesaan bahagian belakang sangat sesuai untuk perjalanan jauh pulang beraya di kampung.



5. Harga

Toyota C-HR didatangkan dengan lima pilihan warna iaitu White Pearl, Metal Stream Metallic, Red Mica With Black Roof, Blue Metallic With Black Roof dan Attitude Black Mica.

Model ini juga menyediakan ruang tempat duduk dan penyimpanan barang yang lebih luas berbanding model crossvover kompak yang lain. Jadi anda tak perlu risau untuk pulang beraya dengan bagasi yang banyak!

Harga yang ditawarkan atas jalan tanpa insurans bermula RM137,300.

Info lanjut layari www.toyota.com.my