Pelakon Fauziah Ahmad Daud atau mesra disapa Ogy mengakui menerima kecaman daripada netizen selepas membawa watak Suraya dilakonkan dalam drama Rahsia Hati Perempuan.

Menurut Ogy, menerusi ruangan komen di Instagram (IG), memberitahu ada pihak yang sanggup memecahkan kaca TV dan membaling Ogy dengan pasu bunga serta melemparkan komen berbaur marah serta benci dengan watak antagonis itu.

"Penonton kita terlalu emosi, jadi saya tidak kecil hati pun. Lagi pula, Suraya hanya watak dan ia berbeza dengan personaliti sebenar saya. Malah, saya menganggap setiap komen mereka sekadar gurauan.

“Saya pun balas dengan santai dan meminta mereka ‘cool’. Bagi saya, apa pun maklum balas diberikan mengenai watak ini, ia membuktikan watak berkenaan menjadi.

“œSebagai pelakon yang lebih 40 tahun berada dalam bidang ini, saya mengambil serius setiap naskhah diberikan. Apabila melalui proses kematangan sebagai aktor, lakonan pun menyerlah.

"Saya aktres yang berwatak, jadi kena bagi roh dalam lakonan. Macam watak ini, sejujurnya saya penat dari segi mental dan jiwa. Pendek kata, ia mencabar saya,” katanya.

Drama Rahsia Hati Perempuan bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria dan Ria HD.

Selain Ogy, drama itu membariskan pelakon hebat lain seperti Mira Filzah, Hisyam Hamid, Uqasha Senrose dan Fikry Ibrahim.

Sumber: Harian Metro