Bakat baru, Andi Bernadee didakwa meniru karya artis Indonesia, Roy Ricardo menerusi lagu Semalam Sahur Di Mana.

Membuat kelainan dengan mengangkat subjek sahur dalam lagu, sesetengah netizen mendakwa Andi meniru lagu Roy yang bertajuk 'Semalem Bobo Di Mana".


Tenang menghadapi tuduhan tersebut, Andi menjelaskan perkara sebenarnya.

"Lagu tersebut memang karya asal Roy. Sebelum merakamkan lagu Semalam Sahur Di Mana, syarikat rakaman saya, Warner Music Malaysia meminta keizinan Roy yang kebetulan bernaung di bawah Warner Music Malaysia.

"Memang tiada istilah meniru kerana ini memang karya Roy. Nama Roy juga tertera sebagai penulis dan pencipta lagu tersebut.

"Saya cuma rakamkan semula dalam versi Malaysia dan berlakunya beberapa penambahan yang dilakukan oleh Omar K dan Shazee Ishak," kata Andi.


Andi ditemui di sesi media bersama Roy yang berkunjung ke Malaysia baru-baru ini.

Pertama kali bertemu dengan Roy, penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi aplikasi Smule ini gembira bekerjasama dengan karyawan Indonesia ini.

"Ini merupakan pertemuan pertama saya dengan Roy. Sebelum ini, saya hanya mendengar lagunya sahaja.

"Ternyata dia seorang yang baik dan tidak sombong. Jika berkesempatan, mungkin saya boleh bekerjasama lagi dengan Roy di masa hadapan," katanya lagi.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Andi