Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah menyerahkan notis memerintah kehadiran kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dipercayai bagi membantu siasatan berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Sumber yang rapat dengan kes itu mendedahkan, Rosmah perlu hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Selasa ini sekitar jam 11 pagi untuk dirakam keterangan.

Surat berkenaan diserahkan oleh pegawai SPRM yang mengunjungi kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di ibu negara pada jam 4 petang hari ini.

Menurut sumber itu lagi, beberapa pegawai SPRM meninggalkan kediaman itu dengan membawa sebuah beg yang tidak diketahui kandungannya kira-kira jam 5.30 petang.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Buat masa ini, Astro AWANI sedang mendapatkan pengesahan daripada SPRM berhubung perkara itu.

Sumber: Astro Awani