Demi kebaikan anak-anak dan keluarga, pelakon cantik Fasha Sandha akan memohon maaf kepada aktres Nora Danish atas isu yang terjadi pada majlis pertunjukan fesyen tahun lalu.

Didakwa mengguris perasaan Nora rentetan isu terbabit, Fasha memberikan sebuah kenyataan berkaitan perkara tersebut.

"Saya mengakui yang benar saya dan Nora Danish ke pejabat mediasi di Mahkamah Shah Alam minggu lalu.

"Maaf saya tidak mahu memberi komen panjang mengenai isu itu sebaliknya apa yang boleh saya katakan di sini, InsyaAllah jika tiada aral melintang bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya akan memohon maaf kepada Nora Danish atas isu yang terjadi pada majlis pertunjukan fesyen tahun lalu yang didakwa mengguris perasaannya.

"Ini adalah demi kebaikan anak-anak dan keluarga. Isu antara kami berlarutan terlalu lama.

"Justeru jalan terbaik adalah berdamai dan hidup dalam harmoni. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat dari kedua belah pihak kerana tidak jemu mendoakan agar kami berdamai.

"Syukur, Allah telah perkenan doa itu serta dengan bantuan kedua peguam yang bertugas.

"Terima kasih," kata Fasha.

BACA: Krisis Nora Danish, Fasha Sandha Akan Selesai Selepas Ke Mahkamah

Sebelum ini, sebuah portal hiburan melaporkan Nora dan Fasha mungkin sudah berdamai selepas kedua-duanya dilihat hadir di Pejabat Mediasi, Mahkamah Tinggi Shah Alam baru-baru ini.

Pada Mei 2017, nama mereka panas semula apabila Fasha didakwa telah menuduh Nora menghalaunya pada sebuah majlis pertunjukkan fesyen.

Kemudian, Nora dalam satu sidang media 12 Mei 2017 menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Fasha yang dirasakan telah menjejaskan maruah keluarga dan perniagaannya.

Bertemu dengan Fasha, penerima trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2017 ini mahu berdamai demi kebaikan anak-anak.

"Anak sulung Nora merupakan abang kepada anak-anak saya. Mereka mempunyai hubungan yang sangat baik dan rapat.

"Semuanya dilakukan untuk kebaikan anak-anak dan keluarga. Tak manis sekiranya anak-anak tahu ibu mereka mempunyai masalah. Cara ini merupakan penyelesaian terbaik," kata Fasha.

Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan Rizal Ashram Ramli pada 2006 dan berpisah pada 2008. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak, Putra Rayqal Ramli.

Selepas itu, Fasha bernikah dengan Rizal pada 2012 dan berpisah pada 2016. Mereka dikurniakan dua orang anak, Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemaima.

Kini, Nora sudah berkahwin dengan Nedim Nazri pada 2017 dan dikurniakan anak, Mohammad Neqayl Nedim yang lahir pada Februari lalu.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Jannahnoe & OwlbyND