Dramatis jelita Rozita Che Wan menghela nafas lega apabila kerajaan mengumumkan pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula 1 Jun (hari ini).

Kata Che Ta, ia berita menggembirakan terutamanya kepada usahawan sepertinya.

"Lega rasanya... bukan saya sahaja tetapi semua ahli perniagaan menyambut baik berita tersebut," jelasnya.

Tambah Che Ta, GST bukan sahaja membebankan usahawan seperti dia malah melibatkan pengguna akhir dalam pembelian sesuatu produk atau perkhidmatan.

Pelakon itu ditemui pada majlis berbuka puasa artis naungan Indigital Sdn Bhd dan LOL Entertainment bersama anak yatim di Hotel Royal, Kuala Lumpur semalam.

Dalam pada itu, Che Ta turut menyokong tindakan kerajaan mewujudkan Tabung Harapan Malaysia (THM) bagi membolehkan rakyat memberikan sumbangan ke arah menangani hutang negara.

Usaha Che Ta termasuklah menyeru ahli keluarganya untuk sama-sama mengumpul wang untuk didermakan kepada tabung tersebut.

"Sumbangan yang saya dan keluarga adalah tanda sokongan kepada kerajaan terhadap THM.

"Ia bukan paksaan tetapi bayangkan jika seorang rakyat Malaysia dermakan RM10 pasti jumlahnya sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban hutang ditanggung kerajaan.

"Kita pegang begini sahajalah, satu kita bagi Allah akan gantikan 10 kebaikan yang lain," tambah Che Ta.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @rozitachewan1