Bintang Gegar Vaganza 4 (GV4), Syura Badron mengakui mengambil masa hanya empat bulan untuk menurunkan berat badan sebanyak 11 kilogram.

Menurut Syura, bukan mudah untuk dia mencapai berat badan ideal dan tampil langsing daripada berat sebelum ini iaitu 60 kilogram.

"Jujur saya katakan bukan mudah untuk capai berat badan ideal sekarang iaitu 49 kilogram.

"Saya mula jaga makan sejak empat bulan lalu dan makan ikut seperti saranan doktor dengan mengambil makanan sebanyak enam kali sehari tapi semuanya diambil dalam kuantiti sedikit.

"Saya juga minum lebih banyak air iaitu enam liter air sehari untuk memastikan badan kerap berpeluh dan ternyata perkara itu membuatkan berat saya mudah untuk susut.

"Saya juga tak ambil benda-benda manis kerana makanan seperti itu akan membuatkan berat badan susah untuk turun," katanya kepada Astro Gempak.

Syura berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2018 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi