Pelakon cantik, Anzalna Nasir mengakui terkejut apabila lukisannya yang dilakukan sekadar hobi dibida sehingga mencecah ribuan ringgit.

Menurut Anzalna, dia tidak percaya apabila ada pihak bersungguh-sungguh untuk membeli lukisan yang dihasilnya walaupun dengan harga tinggi.

"Sebenarnya saya tidak meletakkan harga untuk setiap lukisan yang dihasilkan sebaliknya pembeli yang akan membida harga.

"Saya juga terkejut apabila ada yang sanggup membida lukisan yang dihasilkan sehingga ribuan ringgit, sedangkan saya rasa lukisan saya bukanlah besar mana pun.

"Sehingga kini banyak juga lukisan saya yang telah dijual namun harganya berbeza-beza mengikut bidaan yang dilakukan.

"Ada juga mahu saya merahsiakan identiti mereka dan ada juga yang tidak kisah jika saya berkongsi pembelian mereka di Instagram saya," katanya kepada Astro Gempak.

Anzalna berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2018 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Anzalna, dia mahu menghasilkan lebih banyak lukisan sepanjang bulan Ramadan untuk mengumpul lebih dana dan disalurkan kepada pihak yang memerlukan.

Bagi platform pemasaran, Anzalna meminta bantuan bapanya untuk menjual lukisan-lukisan terbabit selain dirinya sendiri mempromosikan menerusi media sosial.

Dalam perkembangan lain, Anzalna bakal memulakan penggambaran drama bersiri selepas sambutan Aidilfitri dan bakal ke Paris, Perancis untuk menghadiri acara sebuah produk kecantikan.

Anzalna juga terbabit dengan bazar Yasss Raya di Quill City Mall, Kuala Lumpur dari 18 Mei hingga 12 Jun.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi