Anggota kumpulan Bocey, Abam mendedahkan dia rugi puluhan ribu ringgit selepas ditipu oleh sebuah syarikat pelancongan tempatan yang menawarkan pakej Umrah.

Kata Abam, dia sudah membayar kos penuh untuk dirinya dan dua ahli keluarha lain untuk menunaikan Umrah pada penghujung tahun lalu.

"Selepas membuat bayaran penuh, pemilik syarikat terbabit menunda beberapa kali tarikh penerbangan membuatkan saya berasa tidak sedap hati.

"Selepas itu, pemilik syarikat terbabit terus senyap sehingga sekarang. Sepatutnya saya dan ibu bertolak pada 5 Disember lalu, bagaimanapun impian kami untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci buat kali pertama musnah," kata Abam.

Reda dengan apa yang berlaku, Abam tidak mahu mengambil sebarang tindakan lanjut terhadap syarikat tersebut.

"Biar Allah saja membalas perbuatan mereka itu. Saya reda dan percaya setiap berlaku ada hikmah disebaliknya.

"Barangkali mungkin belum rezeki saya membawa ibu menunaikan ibadah. Insya-Allah kami bercadang menunaikan umrah hujung tahun ini atau awal tahun depan," katanya lagi.

Sumber: Harian Metro
Foto: Instagram Abam