Penyanyi Ara Johari memberikan amaran kepada netizen supaya bersikap lebih berhemah dan jangan menyentuh sensitiviti dirinya.

Kata Ara, dia akan mudah melenting sekiranya ada individu yang sewenang-wenangnya cuba mengganggu emosinya.

"Emosi saya bergantung pada keadaan. Kadang-kadang saya akan bertindak dahulu kemudian baru berfikir, terutama jika emosi tak terkawal.

"Tetapi kalau perkara-perkara kecil saya akan bertimbang-rasa dan berfikir dahulu.

"Selalunya, saya tidak suka orang menyentuh perihal keluarga, privasi dan kerjaya saya," kata Ara kepada Astro Gempak.

Ara ditemui pada Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2018 Meriah Bersama di Hotel Majestic Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penyanyi itu baru-baru ini terpalit dengan kontroversi membocorkan sedutan filem Avengers: Infinity War di Instastory miliknya.

Selepas dikecam netizen, penyanyi lagu Bunga itu melenting dan menyifatkan haknya untuk merakam atau memuat naik sebarang kandungan di media sosialnya.

Belajar daripada kesilapan itu kata Ara, dia akan lebih berhati-hati dalam setiap perbuatannya selepas ini.

"Saya akan lebih berhati-hati, sekarang orang akan melihat semua tindak-tanduk yang saya lakukan setiap masa.

"Salah saya akan cepat tersebar dan saya akan cuba memperbaiki diri ke arah lebih baik.

"Saya bukannya takut dikecam tetapi risaukan persepsi orang terhadap diri saya. Orang akan pandang atas bawah lepas kita buat silap," katanya yang bakal muncul dengan single baharu selepas Aidilfitri ini.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @arajohari