Tampil anggun dengan imej baru, pelakon dan penyanyi Raja Ema lebih selesa jika dia dikatakan bertudung, bukannya berhijab.

“Saya lebih selesa jika orang mengatakan saya telah menutup aurat dengan bertudung. Maksud berhijab itu terlalu besar maknanya.

“Bagi saya, berhijab bukanlah semata-mata untuk menutup aurat. Erti berhijab bagi saya adalah menutup segala kecantikan daripada tatapan umum dan patuh sepenuhnya hukum syariah.

“Saya kini dalam proses percubaan. Banyak lagi yang perlu saya pelajari. Saya mengenakan tudung dengan gaya dan keselesaan saya sendiri,” kata Raja Ema kepada Astro Gempak.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan dia bakal menerima kurang tawaran lakonan selepas berhijab, Raja Ema tidak bimbang.

“Kemungkinan itu ada tetapi saya tidak bimbang dan sudah maklum mengenai perkara tersebut. Namun begitu, saya sendiri percaya yang peluang dalam bidang seni di masa kini lebih meriah berbanding zaman dahulu.

“Penerbit dan pengarah semestinya pandai untuk menyesuaikan watak dengan penampilan seseorang artis. Andai kata rezeki saya dalam bidang lakonan berkurangan, saya sudah bersedia dengan perniagaan sendiri.

“Alhamdulillah, saya mempunyai perniagaan lain seperti Slimm D Fiber, Korset Premium Raja Ema, Raja Ema Sleepwear dan Ou Lala Montoq,” katanya ketika ditemui di majlis kemuncak Superkaroks Kool FM.

Dalam perkembangan terbaru, Raja Ema baru sahaja selesai menjalani penggambaran bagi drama bersiri Meh Sandar Pada Aku yang diterajui oleh Mira Filzah dan Aliff Aziz.