Vokalis kumpulan Search, Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi A Rahman, 60, tidak menyesal menyertai misi mendaki Annapurna Base Camp (ABC), Nepal.

Biarpun Amy bersama isteri serta rakan-rakan lain terpaksa berhadapan cuaca sejuk sehingga di bawah paras beku untuk menyelesaikan misi mendaki ABC, Amy menganggap pengalaman itu sebagai memori yang sangat manis.

"Alhamdulillah, pengalaman ke ABC bulan lalu menjadi satu pengalaman paling berharga dan tak akan dapat saya lupakan. Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran, terutamanya cuaca, saya menganggap itu sebagai pengalaman yang tak akan saya lupakan.

"Saya juga tidak menyesal langsung dengan keputusan untuk mendaki ke sana kerana apabila sampai di destinasi, semua penat lelah berbaloi," kata Amy.

Amy juga membuktikan usianya bukan menjadi penghalang untuk dirinya menawan puncak yang berketinggian 4,130 meter dari paras laut.

"Apa yang saya impikan tercapai. Umur hanya sekadar angka. Insya-Allah, tahun depan saya akan meneruskan misi lain pula.

"Saya mempunyai misi untuk menawan Gunung Everest dan penyertaannya juga sangat memberangsangkan," katanya.

Amy bersama anggota kumpulan Search ditemui di majlis sidang media Matrix Aidilfitri Festival 2018 di d'Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan baru-baru ini.



Konsert Matrix Aidilfitri Festival 2018 bakal diadakan bersempena ulang tahun ke-21 Matrix Concepts dan lima tahun Matrix disenaraikan di dalam Bursa Malaysia.

Acara tersebut bakal berlangsung di Bandar Sri Sendayan pada Sabtu, 30 Jun 2018 bermula jam 7 malam dan bakal menggandingkan Search bersama Spider dan Hujan.

Sidang media tersebut turut dihadiri oleh Datuk Haji Mohamad Haslah selaku Pengerusi Matrix Concepts dan Datuk Lee Tian Hock selaku Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts.

"Saya dan anggota kumpulan Search yang lain sudah tidak sabar untuk beraksi dengan kumpulan Spider dan Hujan. Apa yang penting, kami akan menggamatkan suasana di Bandar Sri Sendayan pada 30 Jun nanti," katanya mengakhiri perbualan.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Amy / Astro Gempak