Aktres drama bersiri Coffee Prince, Janna Nick mendedahkan ada selebriti bersikap 'plastik' dengan dirinya.

Sebelum ini, Janna ada memuat naik status berkaitan selebriti 'plastik' menerusi ruangan Instagram Stories miliknya.



"Saya memang tujukan status itu kepada dia dan harap dia terasa. Namun begitu, saya enggan mendedahkan identiti individu tersebut kerana saya tak mahu dikaitkan dengan orang yang berperangai sebegitu.

"Azam tahun 2018 saya adalah untuk mengelakkan diri dari aura negatif dan saya mahu melakukan perkara terbabit. Dia cuba merapatkan diri dengan saya tapi saya tahu dia mempunyai 'perangai' tersebut," kata Janna ketika ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2018 Meriah Bersama di Hotel Majestic Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, Janna mengakui dirinya bersikap jujur dan ikhlas dalam berkawan.

"Ada beberapa insiden yang menguatkan lagi ciri-ciri 'plastik' itu. Apabila bersahabat, saya seorang yang jujur dan tidak akan bermuka-muka. Saya akan berkawan dengan ikhlas.

"Selepas ini, saya akan melayan individu itu seperti biasa tetapi saya akan lebih berhati-hati kerana mengetahui peribadi sebenarnya," katanya lagi.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Janna