Polis Kuala Lumpur masih menunggu laporan kimia dari Jabatan Patalogi berhubung dadah yang dimiliki dalam beg tangan pelakon, Uqasha Senrose ketika ditahan di Taman Tun Dr Ismail, 6 Mei lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ini bagi mengesahkan ianya adalah eramin 5 atau sebaliknya.

"Kertas siasatan sudah pun dilengkapkan, cuma keputusan kimia sahaja belum selesai.

"Kita masih tunggu laporan akhir dari Jabatan Patologi sebelum keputusan tindakan sama ada boleh dibuat di bawah Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Dalam majlis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Kamal Khan Mohd Shariff akan memangku jawatan Ketua Polis Daerah Cheras menggantikan Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji yang bertukar ke Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras.

Terdahulu, Uqasha ditahan selepas polis menemui 53 biji pil eramin 5 bernilai RM660 di dalam beg tangan miliknya.

Difahamkan, dadah itu ditemui selepas pelakon berusia 25 tahun itu dibawa ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail, 11.45 pagi.

Ujian air kencing Uqasha bagaimanapun adalah negatif sebelum dia dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Sinar Harian