Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal dan Raya yang menjelang tiba, rangkaian saluran Astro akan menyediakan program istimewa raya yang akan disiarkan di platform digital, televisyen dan radio sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Astro buat julung kalinya mengangkat tema 'Meriah Bersama' yang menerajui kempen Ramadan dan Syawal pada tahun ini.

Menurut Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata pada tahun ini Astro memperkenalkan iklan raya komersial sempena Aidilfitri itu berjudul ‘Gaya Raya Paling Ori’ (GRPO).

"Iklan raya ini padat dengan mesej kekeluargaan dan persahabatan dalam bentuk komedi santai.

"Elemen yang dimainkan bagi iklan raya ini adalah berdasarkan apa yang ‘trending’ sepanjang tahun ini.

"Kita menggunakan gabungan elemen yang ‘trending’ dalam iklan GRPO ini untuk memberikan plot penceritaan yang menarik dan kreatif serta mempunyai mesej yang mendalam buat penonton,” katanya.

Khairul berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro di Hotel Majestic, pada Isnin.

Sepanjang musim perayaan ini, Astro selaku penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia akan turut membuat liputan komprehensif kesemua 64 perlawanan.

Bahang kehangatan FIFA 2018 turut disemarakkan menerusi jalan cerita iklan raya komersial GRPO.

Dalam pada itu, saluran ‘Raya HD’ di 122 akan dibuka secara percuma kepada semua pelanggan Astro dan Njoi selama sebulan bermula 14 Jun sehingga 15 Julai ini.

Antara rancangan menarik yang akan disiarkan sepanjang Syawal ini adalah Bonanza Raya, Gegar Raya Vaganza, Ti Amo Sweethear 100 Hari, Pok Ya Cong Codei Siti Di Hati dan Renyai Takbir Raya.

Sementara itu, menerusi kolaborasi strategik antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, majalah seperti Mingguan Wanita, Pa & Ma dan Rasa akan dizahirkan dalam bentuk program.Saluran Khas