Ratu dangdut, Amelina menepis dakwaan 'janda gatal' yang diberikan sesetengah netizen yang tak bertanggungjawab gara-gara dirinya dikaitkan dengan jejaka berusia 28 tahun.

Memegang status ibu tunggal, wanita berusia 44 tahun ini kini dikaitkan dengan pelakon baru, Hafiz Bahari.

"Jika benar saya gatal, sudah pasti saya sudah mempunyai teman sekarang. Hampir empat tahun saya memegang status ibu tunggal dan hidup tanpa kehadiran lelaki. Kalau benar saya berkelakuan sebegitu, mesti saya sudah mempunyai pasangan sekarang.

"Sebelum ini pun nama saya pernah dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk. Walhal, saya hanya berjumpa dengan Datuk kerana dia merupakan penganjur acara yang saya jayakan.

"Jika saya memang 'gatal' seperti didakwa, pasti sekarang saya sudah bergelar Datin," seloroh Amelina sambil ketawa.

Terkejut dengan khabar angin ini, Amelina tidak memgambil hati dengan gosip yang melanda dirinya.

"Saya terkejut dengan khabar angin ini tetapi saya tidak mengambil hati. Saya anggap gosip bersama Hafiz hanyalah asam garam dunia hiburan. Tak salah jika kami berkawan.

"Sebelum ini, lelaki muda bukan menjadi pilihan saya dan saya akui, saya lebih suka dengan lelaki berusia. Malah, bekas suami juga berbelas tahun beza usianya dengan saya.

"Namun begitu, siapalah saya untuk menolak ketentuan. Jika ditakdirkan saya bertemu jodoh dengan lelaki muda, saya terima dengan hati terbuka," kata Amelina lagi.

Bakal muncul dengan single terbaru, Amelina baru sahaja dilantik menjadi duta IR Signature by Rohaizat yang mengeluarkan wangian The Scent of Queen – Amelina.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Amelina