Pendana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa simpati terhadap Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berhubung tekanan yang diberikan kerajaan terdahulu.

Menerusi wawancara eksklusif bersama akhbar The Edge Weekly, Perdana Menteri menyedari beberapa syarikat atau individu yang dilihat bersahabat dengannya sebelum ini berisiko menjadi sasaran oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Saya tahu kerajaan sebelum ini memberi tekanan. Sebagai contoh, jika syarikat atau individu kelihatan baik kepada kami (pemimpin Pakatan Harapan), jabatan cukai pendapatan akan meminta mereka membayar cukai tambahan dan mengatakan ia sebagai undang-undang.

“Jadi, apabila anda berdepan dengan ancaman ini, lebih baik bersahabat dengan kerajaan. Jadi mereka (AirAsia) menukar warna merah (warna) mereka kepada biru (Barisan Nasional) untuk menggembirakan kerajaan.

“Saya bersimpati dengan ramai orang yang ditekan oleh kerajaan terdahulu dalam pelbagai cara. Ada yang perlu bayar sebanyak RM90 juta,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai video komen Tony yang dimuatnaik sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di mana beliau memuji bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana mengutamakan rakyat.

Tony menerima kecaman berhubung video itu dan sejurus kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 lalu, beliau memuatnaik satu lagi video memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tunduk kepada tekanan kerajaan Barisan Nasional.

Pada masa sama, Pengerusi AirAsia X Rafidah Aziz dan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahmad turut mempertahankan tindakan Tony.

Sumber: Harian Metro