Pemenang Oscar, Morgan Freeman, dilaporkan melakukan serangan atau gangguan seksual ke atas wanita di Hollywood.

Morgan Freeman menerusi sebuah kenyataan media memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang pernah terasa hati dengan kelakuannya.

Permohonan maaf itu dibuat Freeman susulan laporan CNN mengenai pengakuan beberapa wanita yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual pelakon berusia 80 tahun itu di set penggambaran.

Freeman menerusi kenyataan itu memaklumkan bahawa dia tidak pernah berniat untuk mencetus rasa kurang senang kepada sesiapa.

“Sesiapa yang mengenali dan pernah bekerja bersama saya pasti tahu saya bukanlah seseorang yang dengan niat mencetus rasa tidak selesa.

“Saya juga meminta maaf kepada sesiapa yang terganggu akibat perbuatan saya,” jelas Freeman.

Dalam laporan CNN itu seorang wanita mengaku Freeman beberapa kali cuba menyelak skirtnya dan bertanya sama ada dia memakai seluar dalam.

Beberapa wanita lain mendakwa pemenang Anugerah Academy itu pernah bercakap mengenai tubuh mereka.

CNN menemubual 16 individu mengenai kelakuan jelek Freeman. Lapan daripadanya memaklumkan telah menjadi mangsa pelakon veteran itu sementara lapan lagi mengaku pernah menyaksikan perlakuan jelek Freeman.

Sumber: Astro Awani