Aktres terkenal Bollywood, Kareena Kapoor kesal apabila ada pihak yang sering mengambil gambar anaknya, Taimur Ali Khan setiap kali mereka sekeluarga keluar daripada rumah.

Menurut laporan Bollywoodlife.com, Kareena mengakui dia mahu anaknya diberikan ruang untuk membesar sebagai kanak-kanak biasa yang mempunyai kehidupan normal.

"Saya tiada masalah jika ingin mengambil gambar Taimur, tapi janganlah setiap hari anda semua memburunya.

"Dia juga perlukan kehidupan sama seperti kanak-kanak normal lain dan saya tak mahu setiap saat dia diganggu dengan kamera.

"Dia baru 17 bulan dan berikan Taimur ruang untuk menikmati waktunya agar boleh membesar dengan baik.

"Tolong jangan jadikan hidup anak Taimur sebagai filem dokumentari yang dirakam tanpa henti setiap hari," katanya.

Taimur yang kini sudah berusia 17 bulan adalah anak pertama hasil perkahwinan Kareena dan Saif yang mendirikan rumah tangga pada 16 Oktober 2012.

Bagi Saif pula, Taimur merupakan anak ketiganya. Sebelum ini, menerusi perkahwinan dengan pelakon Amrita Singh, Saif dikurniakan dua orang anak, Sara Ali Khan dan Ibrahim Ali Khan.

Sumber: Bollywoodlife.com

Susunan Oleh: Rozaimi Zubaidi