Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang baru bertugas empat hari sudah menerima kunjungan hormat daripada Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, H.E Kamala Shirin Lakhdir.

Perjumpaan bersejarah itu diadakan di pejabatnya di Wisma Pertahanan, di ibu negara, semalam.

Kunjungan hormat itu menjadi kebanggaan rakyat Malaysia kerana perjuangan beliau berpuluh tahun dalam arena politik amat berbaloi serta mendapat tumpuan dalam dan luar negara.

Jika sebelum ini Mat Sabu sering tampil dalam keadaan lucu tetapi kini beliau dilihat lebih profesional.

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Abang Mat atau Mat Sabu turut ditemani Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Junaidah Kamarruddin serta beberapa pegawai Kanan Kementerian Pertahanan.

Perjumpaan tersebut turut diiringi beberapa pegawai Duta AS dan pegawai kanan Kementerian Pertahanan.

Momen-momen itu dikongsikan di Facebook rasmi Kementerian Pertahanan Malaysia dan rata-rata komen rakyat Malaysia memuji Mohamad Sabu dengan kata-kata yang mencuit hati dan beranggapan peristiwa itu sebagai satu sejarah.



Sebelum ini juga, Mat Sabu dilihat penuh bersahaja keluar bekerja daripada rumahnya yang sederhana dan berpakaian yang ringkas tetapi kekal segak.

Susunan oleh: Amri Hassan
Sumber: Astro Awani
Foto: Kementerian Pertahanan Malaysia