Vokalis kumpulan Spider, Tam atau nama sebenarnya, Rustam Mustafa mengakui dirinya buntu untuk memilih baju untuk anak perempuannya.

Baru sahaja menimang cahaya mata pada penghujung April lalu, Tam mengakui sedikit kekok menerima kehadiran bayi perempuan.

"Selama ini saya menguruskan tiga orang anak lelaki dan menimang cahaya mata perempuan membuatkan saya rasa teruja. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa kami untuk menerima bayi perempuan dan akhirnya isteri saya mempunyai 'geng' di rumah.

"Namun begitu, saya sedikit kekok kerana tiada pengalaman dengan anak perempuan. Pernah saya keluar untuk membeli baju bayi perempuan, tetapi saya rasa buntu untuk memilih baju berwarna merah jambu yang sesuai dengan anak saya kerana sebelum ini terbiasa membeli baju untuk bayi lelaki," kata Tam.

Tam bersama anggota kumpulan Spider ditemui di majlis sidang media Matrix Aidilfitri Festival 2018 di d'Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Konsert Matrix Aidilfitri Festival 2018 bakal diadakan bersempena ulang tahun ke-21 Matrix Concepts dan lima tahun Matrix disenaraikan di dalam Bursa Malaysia.

Acara tersebut bakal berlangsung di Bandar Sri Sendayan pada Sabtu, 30 Jun 2018 bermula jam 7 malam dan bakal menggandingkan Spider bersama Search dan Hujan.



Sidang media tersebut turut dihadiri oleh Datuk Haji Mohamad Haslah selaku Pengerusi Matrix Concepts dan Datuk Lee Tian Hock selaku Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts.

"Memandangkan konsert tersebut bakal diadakan selepas sambutan Syawal, kami sudah mula melakukan persiapan awal kerana tidak mahu tergesa-gesa.

"Pastinya kami akan berehat sewaktu sambutan Hari Raya dan sekarang merupakan waktu yang sesuai untuk kami berlatih dan memilih seleksi lagu yang bakal dipersembahkan.

"Kami bersama kumpulan Search dan Hujan sudah tidak sabar untuk menggegarkan Bandar Sri Sendayan pada 30 Jun nanti," katanya mengakhiri perbualan.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Tam / Astro Gempak