Pelakon drama bersiri Mr Grey, Fendy Bakry dilaporkan semakin pulih selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Isnin lalu.

Menurut pengurus kepada Fendy, Fadzil Zahari berkata keadaan pelakon itu semakin sihat dan perlu menjalani rawatan susulan selepas ini.

"Saya ingin maklumkan Fendy sudah dibenarkan keluar hospital. Alhamdulillah dia kelihatan sihat, tapi perlu jalani rawatan susulan.

"Insya-Allah dia akan kembali aktif selepas Aidilfitri ini. Sama-sama kita doakan semoga Fendy kuat menempuh ujian ini dan diberi kesembuhan.

"Saya berharap semua pihak dapat memberi ruang serta privasi kepada Fendy ketika ini.

"Saya sebagai pengurus ingin memohon maaf kerana tidak dapat berkongsi secara terperinci tahap kesihatannya bagi menghormati permintaan keluarga," katanya.

Isnin lalu Fendy diletakkan pada tahap Unit Rawatan Intensif (ICU) selepas doktor mendapati terdapat simptom 'pneumonia'.

Dia terpaksa direhatkan dengan bius serta dimasukkan oksigen sebagai alternatif pernafasan normal.

Sumber: Harian Metro