Pelakon drama bersiri Mr Grey, Fendy Bakry tampil memberikan kenyataan berhubung status kesihatannya terkini.

Menerusi kemas kini di Instastory akaun Instagramnya, Fendy memberitahu keadaannya tidak serius.

"Untuk makluman semua, Abam (saya) sihat saja kat sini. Sakit pun cuma sikit saja. Tak dak la sampai terus sangat macam yang hampa (kalian) tengok tu.

"Cuma sekarang, mendoakan je la yang baik-baik untuk Abam. Insya-Allah Abam okey.

"Jangan duk dengar berita dari memana. Hampa pun lagu tak tahu berita mau keluar kadang tu kena, kadang tu tak kena," tulis Fendy.

Kata Fendy lagi, dia bakal menceritakan perkara sebenar yang terjadi kepadanya sekiranya keadaan sudah mengizinkan.

"Tapi tak apa, esok-esok Abam dah betul-betul sihat, Abam cerita kat hampa lagu mana jadi na...

"Sekarang ni pun Abam hanya memerlukan rawatan macam tu ja la, bukan untuk dilawat.

"Yang mana nak bagi hadiah ka apa ka, tok sah la hampa, buat susah-susah ja. Kirim doa pun tak apa dah. Besar rahmat tu!" tambahnya.

Fendy dilaporkan jatuh sakit secara mengejut sekitar hujung April lalu hingga ada segelintir pihak mendakwa pelakon itu menghidap penyakit misteri.

Namun, Fendy dilihat kembali aktif dan sihat hinggalah dia dikejarkan ke hospital di Kedah pada Isnin lalu ekoran masalah buah pinggang dan jantung.

Terdahulu, sekitar Mac lalu pelakon itu dilaporkan telah mendapat rawatan di Hospital Melaka dan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @fendybakry