Penyanyi yang pernah viral dengan parodi lagu Tak Tun Tuang, Andi Bernadee akhirnya berjaya merakamkan single khas sempena Ramadan, Semalam Sahur Di Mana.

Lagu itu asalnya dinyanyikan oleh penyanyi rap terkenal, Roy Ricardo dan dirakamkan seminggu oleh Andi sebelum berpuasa.

"Ini pendekatan baru dengan muzik yang segar dan terkini. Setakat ini belum pernah lagi kita dengar lagu bersahur.

"Selalunya meriah dengan berbuka puasa, jadi saya mahu ketengahkan kepentingan bersahur itu menerusi lagu ini," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Warner Music Malaysia di SukaSucre Bisto, Cheras, baru-baru ini.

Lagu Semalam Sahur Di mana digubah semula muziknya oleh Ikhwan dan lirik diubah oleh Omar K untuk disesuaikan dengan budaya dan cara hidup penduduk Malaysia.

Beralih genre dari balada ke hip hop kata Andi bukan kerana tamak sebaliknya cuba menjadi penyanyi yang versatil.

"Saya suka lagu hip hop tetapi ini kali pertama sama merakamkan lagu genre sebegini.

"Tidak salah untuk mencuba genre berbeza-beza bagi membuktikan kemampuan saya menyanyikan lagu yang pelbagai," tambahnya.

Semalam Sahur Di Mana boleh didengar di semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan Apple Music bermula 25 Mei ini.

Temujanji kita jumaat ini . ? #semalamsahurdimana

A post shared by Andi Bernadee (@andibernadee) on



Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @andibernadee