Ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Robert Kuok hadir di pejabat Perdana Putra untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

Menerusi satu perkongsian tweet daripada akaun Twitter rasmi Dr Mahathir, Kuok turut memberi tabik hormat kepada Dr Mahathir setelah bersalaman dengan PM Malaysia ketujuh itu.

"Saya tabik kepada anda, anda telah selamatkan negara ini," ujar Kuok kepada PM Dr Mahathir.

"Sudah tentu, dengan bantuan Daim," kata Kuok, merujuk kepada ahli perniagaan Tun Daim Zainuddin yang mengetuai panel lima ahli dalam Majlis Penasihat Kerajaan. (Kuok juga merupakan salah satu daripada ahli majlis itu.)

"Ya, saya tahu, tapi kami memerlukan bantuan anda sekarang," kata PM Dr Mahathir.

Kuok turut berpesan kepada rakyat Malaysia untuk meletakkan kepercayaan kepada ahli-ahli Majlis Penasihat Kerajaan dan juga mengatakan mereka yang dipilih adalah kalangan yang terbaik.

Sumber: Astro Awani