Bekas gitaris kumpulan rock 90-an Ekamatra dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di Alor Setar selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kematian seorang wanita warga emas ketika memecah masuk ke rumah mangsa pada Februari lalu.

Hakim Juraidah Abbas memerintahkan supaya hukuman terhadap tertuduh Md Nurul Azman Salilholdin @ Salilhaldin, 44 tahun, bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 28 Februari lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Kau Fu Eng, 71, antara 2 petang hingga 6 petang, 25 Februari lalu di sebuah rumah di Taman Malaysia, Alor Setar.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur manakala tertuduh yang mempunyai empat orang anak tidak diwakili peguam.

Juraidah berkata, hukuman itu dibuat selepas meneliti hujahan pendakwaan dan rayuan tertuduh.

Sebelum itu, Md Nur Azman memohon mahkamah meringankan hukuman kerana telah insaf dengan perbuatan yang dilakukannya.

Sumber / Foto: Astro Awani