Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta rakyat negara ini agar tidak memberikan apa jua hadiah padanya selain bunga dan makanan.

Pesan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, sejak dua minggu lalu selepas Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau bersama suami menerima banyak ucapan tahniah daripada orang ramai.

Anak pasangan ini, Marina memberitahu ibunya berasa sangat bersyukur dan menghargai atas ucapan tahniah, doa dan mesej pada mereka.

Malah, pasangan romantik ini bukan saja menerima banyak ucapan tahniah bersama bunga dan makanan tetapi termasuk hadiah.

"Beliau (Tun Dr Siti Hasmah) meminta saya agar tiada lagi hadiah yang dihantar kepadanya kerana mengikut peraturan kerajaan Pakatan Harapan, ahli politik tidak dibenarkan menerima apa jua hadiah selain bunga dan makanan," katanya menerusi statusnya di Facebooknya, hari ini.

Marina juga memberitahu kedua ibu bapanya itu tidak berpindah ke kediaman rasmi Perdana Menteri di Sri Perdana sebaliknya selesa untuk terus tinggal di rumah mereka sendiri.

"Beliau meminta orang ramai faham agar tidak menghantar apa-apa padanya meskipun Aidilfitri akan menjelang tiba. Beliau meminta lebih baik diberikan sumbangan pada mana-mana badan kebajikan pilihan anda," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Marina Mahathir - Facebook