Pengacara Awal Ashaari mendedahkan ada di antara peminat dan pengikut laman Instagram (IG) anaknya, Lara Alana menegur dan memarahinya.

Menurut Awal, pengikut IG Lara akan marah apabila merasakan apa yang dilakukan kepada anaknya itu tidak betul.

“Kadang-kadang, ada pengikut Lara menegur saya tentang apa yang saya lakukan kepada Lara. Ada juga cakap apa yang saya buat tidak betul. Lebih teruk, ada juga yang marah-marah. Pengikut Lara sangat mengambil berat mengenai perkembangan dia.

“Jika saya tidak memuatnaik gambar di akaun Instagram Lara, ada peminat yang meninggalkan komen di Instagram saya atau isteri dan meminta agar kami mengemaskini akaun Lara. Saya tidak berasa rimas dengan perkara tersebut kerana saya tahu mereka buat begitu kerana mereka sayangkan Lara,” kata Awal kepada Astro Gempak.

Sementara itu, Awal turut meluahkan rasa gementar menantikan penerimaan dan maklumbalas orang ramai berkenaan dengan program realiti Lara Oh Lara (LOL) yang dibintangi oleh Lara.

“Sebagai pasangan yang baru sahaja bergelar ibu bapa, saya dan isteri rasa gementar menantikan penerimaan orang ramai yang bakal menyaksikan LOL. Program ini memaparkan cara kami mendidik dan membesarkan Lara.

“Cara mengasuh anak berbeza. Mungkin ada perkara yang kami buat tidak sama dengan ibu bapa lain. Ada perkara dan cara asuhan sesuai dengan kami, tetapi mungkin juga tidak sesuai dengan orang lain.

“Selain itu, program LOL juga turut menyelitkan unsur ‘edutaiment’. Dalam gementar, kami juga teruja menantikan program ini bersiaran kerana kami berharap agar LOL menjadi panduan untuk mereka yang baru bergelar ibu bapa,” katanya lagi.

Jangan lupa menyaksikan Lara Oh Lara yang akan bersiaran selama 13 episod pada setiap Rabu, jam 9.00 malam di Astro Ria, saluran 104 dan Astro Ria HD, saluran 123, mulai 17 Ogos ini. Peminat juga boleh turut sama berinteraksi di media sosial menerusi akaun Facebook, MyeBu dan Instagramnya, @my.eBu . Untuk maklumat lanjut mengenai eBu, layari www.eBu.com.my.