Kalau masih ingat, video abang vape cover lagu Akad (Payung Teduh) pernah popular sekitar hujung tahun lalu.


Sempoi dan bersahaja, empunya nama Amir Hasan kini semakin popular dan bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music Malaysia.

Amir juga muncul dengan single pertama berjudul Bicaramu ciptaannya sendiri bersama Haikal Azrin dan Rudy Nastia.

"Saya tak tahu bila masanya saya mula viral sampai kawan-kawan beritahu saya sudah popular di Twitter dan followers Instagram saya bertambah.

"Hidup saya bukanlah berubah dari zero to hundred tetapi saya jadikan sokongan orang sekeliling sebagai motivasi untuk saya kembali menyanyi.

"Alhamdulillah, rezeki viral kalau dulu saya kerja kedai vape, sekarang saya jadi pemilik kedai vape di Seksyen 9, Shah Alam," kata Amir kepada Astro Gempak.

Amir ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Warner Music Malaysia di SukaSucre Bistro, Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Amir turut memperdengarkan single Bicaramu yang disifatkan berkisar tentang cinta yang tidak memandang harta atau rupa.

Muzik video Bicaramu kini berada di platform YouTube dan sudah ditonton lebih 41,000 kali sejak dimuat naik pada 27 April lalu.



Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @amrhsn_