Pelakon dan pengurus kepada Fendy Bakry iaitu Fadzil Zahari menafikan dakwaan orang ramai yang mendakwa pelakon drama Mr Grey itu kini sedang tenat di hospital.

Menerusi kenyataan media disampaikan Fadzil, Fendy dilaporkan tidak mengalami masalah koma atau tenat seperti didakwa umum.

"Sebaliknya doktor merehatkan Fendy dari sebarang tindakan refleks seperti batuk atau bersin dengan bius untuk mengelak jangkitan penyakit lain seperti lelah sekiranya dia batuk secara semulajadi.

"Pihak keluarga amat berduka cita dengan perkembangan khabar angin dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab apatah lagi pihak yang tiada kepentingan pun terhadap perkembangan kerjayanya selama ini," katanya.

Fadzil mendakwa pihak keluarga Fendy masih menghormati keputusan perubatan dan tidak mendahului kenyataan doktor dan pengurusan rasmi mengurus kerjaya Fendy.

Berkongsi maklumat perkembangan kesihatan Fendy, Fadzil berkata pelakon itu hanya menjalani rawatan susulan biasa di hospital berkenaan.

Bagaimana pun, terdapat simptom batuk ketika rawatan susulan dijalankan.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat simptom 'pneumonia' (paru-paru berair) lalu dia diletakkan di bawah pemerhatian doktor.

"Oleh kerana simptom itu tidak dapat dirawat segera disebabkan batuk dan serangan sakit dada yang mengganggu proses rawatan pemulihan pneumonia, doktor memutuskan untuk merehatkannya dengan bius serta memasukkan oksigen sebagai alternatif pernafasan normal untuk mengelak sesak nafas berpanjangan atau mendapat serangan asma.

"Disebabkan itu juga, dia kini diletakkan pada tahap unit rawatan intensif (ICU) di hospital sama," kata Fadzil.

Pengurus kepada Fendy Bakry iaitu Fadzil Zahari menafikan pelakon drama Mr Grey itu sedang tenat di hospital.

Pelakon terbabit kini dilaporkan berada di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Sumber: Harian Metro