Penyanyi yang popular dengan lagu Pertama Kali, Shaa mengambil keputusan untuk kembali berniaga selepas kurang mendapat undangan nyanyian.

Shaa atau nama sebenarnya Juzratul Nisha Johari, 23, berkata, dia mahu mengisi masa terluang dengan melakukan perkara berfaedah dan dalam masa yang sama dapat menambahkan pendapatannya.

"Undangan persembahan memang kurang ketika bulan Ramadan dan perkara itu membuatkan saya mengambil keputusan untuk kembali berniaga.

"Saya mungkin akan memulakan perniagaan jual murtabak dalam masa terdekat ini kerana berniaga merupakan minat saya sejak dulu lagi.

"Buat masa sekarang saya sedang menunggu kelulusan untuk berniaga di tapak bazar di Seksyen 20, Shah Alam.

"Jika segalanya berjalan dengan lancar orang ramai boleh merasai murtabak istimewa yang dijual oleh saya di tapak bazar ramadan berkenaan," katanya kepada Astro Gempak.

Shaa berkata demikian berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Havoc Raya yang diadakan di Sireh Pinang Hall, Cheras Sentral Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram