Sempena bulan Ramadan ini, Digital Durian dan Astro menerbitkan musim kedua Omar & Hana.

Musim kedua ini bersiaran di Astro Ceria, Astro Oasis, Astro Prima dan Maya HD sepanjang bulan Ramadan.

Apa yang menarik kali ini adalah lagu-lagu baru serta episod-episod istimewa sempena Ramadan. Semua peminat Omar & Hana boleh menonton musim kedua sepanjang bulan Ramadan.

Lagu baru pertama yang disiarkan adalah Orang Solat Hebat. Ia menekankan kepentingan solat dan bagaimana solat itu adalah asas kepada pembentukan keperibadian seseorang.

Dalam pada itu, ia juga mengajar kanak-kanak bahawa penjagaan solat dan akhlak adalah sangat penting untuk menjadi Muslim dan Muslimah yang berjaya seperti Abu Hurairah dan Khaulah.

Selain itu, lagu baru lain yang turut ditampilkan ialah Misi Sedekah dan Jom Jujur.

Penonton juga boleh menikmati tiga episod baru Omar & Hana iaitu Kejutan untuk Papa, Lukis Sama-Sama dan Jom Berkelah.

Omar & Hana memaparkan perjalanan Omar, Hana, keluarga dan rakan-rakan mereka di mana mereka bermain, belajar dan mengajar keperibadian Islamik serta penerapan nilai murni melalui lagu untuk kanak–kanak berusia 1 hingga 6 tahun.

Lagu-lagu animasi Omar & Hana yang direkodkan dalam Bahasa Malaysia sepenuhnya ini telah mula bersiaran pada Ramadan tahun lepas dan mendapat sambutan yang baik untuk tontonan di YouTube.

Jangan lupa untuk saksikan musim kedua Omar & Hana yang bersiaran di Astro Ceria, Astro Oasis, Astro Prima dan Maya HD sepanjang bulan Ramadan!

Teks: Kamaruddin Razal